FRANKFURT, JERMAN: Malaysia menyasarkan 20 transaksi jualan hak cipta dalam Pesta Buku Frankfurt yang disertai 4,000 pempamer dari 95 negara yang bermula semalam hingga Ahad ini.
Sasaran itu berdasarkan usaha dibuat Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menghubungkan penggiat industri buku tanah air dengan pihak luar dan pakar hak cipta sebelum penganjuran pesta buku terbesar di dunia itu.
Pengarah MBKM yang juga Ketua Delegasi Malaysia, Mohd Khair Ngadiron, berkata pihaknya mengadakan dua sesi memberikan pendedahan kepada peserta delegasi supaya mereka lebih bersedia menyertai Pesta Buku Frankfurt.
“Kami menganjurkan sesi dalam talian, Meet Malaysian Delegate Networking Day yang menghubungkan penerbit tanah air dengan antarabangsa membabitkan 11 peserta kita dan 38 penerbit serta ejen buku antarabangsa.
“Hubungan itu akan diteruskan, malah sudah ada pihak yang membuat perbincangan awal dan bakal memeterai perjanjian,” katanya kepada BH di sini, hari ini.
Mohd Khair berkata, bagi memastikan delegasi bersedia juga, buat pertama kali pihaknya mengadakan Klinik Persediaan Hak Cipta supaya penerbit dan penulis yang menyertai pesta buku itu dapat berinteraksi dengan penggiat industri negara luar seperti penerbit dengan lebih baik, sekali gus menjual hak cipta mereka.
“Dalam kursus itu, kami menjemput pakar yang sudah biasa dengan urus niaga dagangan hak cipta dengan penggiat industri buku dari luar negara.
“Pendedahan diberikan cukup untuk pengetahuan asas dan memberi ruang kepada mereka berinteraksi, tetapi kami akan cuba mendapatkan maklum balas sepanjang penganjuran pesta buku ini sekiranya terdapat keperluan lain pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mengiklankan produk buku melalui Publishing Perspective yang menyebarkannya kepada lebih 40,000 pelanggan portal mereka dalam kalangan penggiat industri buku di seluruh dunia.
“Banyak juga pihak berminat kerana langkah strategik kita mengadakan hubungan lebih awal ini, selain akan meneruskan sesi sarapan bersama penggiat industri buku dunia setiap pagi sepanjang penganjuran pesta buku ini,” katanya.
Pesta Buku Frankfurt dirasmikan pasangan diraja Sepanyol, King Felipe VI dan Queen Letizia serta Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier, kelmarin, sekali gus memulakan pesta buku sepenuhnya selepas terjejas selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
Delegasi Malaysia turut disertai penerbit institusi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), selain pelbagai penerbit buku besar, persendirian serta swaterbit dan Sekolah Seni Kuala Lumpur.
Selain jualan hak cipta kepada negara luar, penerbit tanah air juga berpeluang membeli hak cipta karya dan buku dihasilkan pengarang antarabangsa daripada sarjana, negarawan, sasterawan dan tokoh pelbagai bidang hingga pengarang serta penulis baharu.
Sumber: Berita Harian, 19 Oktober 2022.
Comments are closed