Tentang mbkm

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) [The National Book Council of Malaysia] ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Malaysia) pada tahun 1968 berdasarkan kepada perakuan UNESCO yang menyarankan penubuhan sebuah badan khas yang bertanggungjawab untuk mengembangkan minat membaca dan memajukan perusahaan buku dalam kalangan negara-negara membangun. Penubuhan MBKM yang pada awalnya dikenali sebagai Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) adalah berperanan sebagai sebuah badan profesional dan penasihat buku di peringkat kebangsaan.

Ahli-ahli Majlis dianggotai oleh wakil-wakil daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan, persatuan-persatuan industri dan badan-badan bukan kerajaan yang ada hubungan dengan perusahaan dan kemajuan buku serta tiga orang ahli individu yang berkebolehan untuk memberi sumbangan terhadap peranan dan fungsi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Dasar Buku Negara (DBN) merupakan dasar yang dijadikan sebagai panduan dan hala tuju oleh MBKM untuk mengembangkan kegiatannya dalam bidang perbukuan dan pembacaan di negara ini.

Sebelum menerima perjawatan hakiki, Urusetia Tetap MBKM hanya wujud sebagai sebuah Unit di Kementerian Pelajaran Malaysia dengan pegawainya dipinjamkan secara pentadbiran dari bahagian-bahagian lain. Melalui Waran Perjawatan yang bertarikh 31 Disember 2005, Urusetia Tetap MBKM kini beroperasi sebagai salah sebuah bahagian di bawah Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan diketuai oleh seorang Pengarah.

Bahagian ini berperanan untuk mengurus pentadbiran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia serta menyelaras segala program kerjasama yang berkaitan dengan pembangunan industri buku melalui pengkaryaan, penerbitan dan pengembangan budaya membaca sama ada dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, dan pihak swasta di negara ini. Selain itu, MBKM juga berusaha mempromosikan buku-buku Malaysia bersama-sama dengan penerbit dan pengusaha industri buku tempatan pada peringkat antarabangsa melalui penyertaan Malaysia dalam pesta-pesta buku di luar negara.