FRANKFURT: Seramai 4,000 pempamer dari 95 negara, termasuk 80 wakil industri buku Malaysia, bertemu lagi dalam Pesta Buku Frankfurt, Messe, di sini, yang berlangsung bermula hari ini hingga Ahad ini.
Selepas dua tahun industri buku berkongsi nasib sama dengan semua sektor ekonomi ‘terhenti’ akibat pandemik COVID-19, pesta buku dagangan hak cipta ini kembali bergerak sepenuhnya.
Di sebalik ketidaktentuan akibat pascapandemik ditambah krisis Russia-Ukraine, Presiden Pesta Buku Frankfurt, Juergen Boos tetap meluahkan keyakinan untuk melihat penggerak industri buku kembali menyemarakkan pesta buku berkenaan, sekali gus ekonomi perbukuan global.
“Saya tidak sabar untuk bertemu dengan ramai pengarang, penerbit dan rakan dagangan sekali lagi. Hubungan peribadi menjadi lebih penting daripada sebelum ini kerana komunikasi secara bersemuka dapat membantu dalam mengurangkan polarisasi.
“Manusia akan bercakap dengan nada berlainan apabila bersemuka. Sepanjang tempoh penganjuran pesta buku ini, perbincangan mengenai isu semasa, kontroversi dan bersemangat akan berlaku di Frankfurt,” katanya pada sidang media Pesta Buku Frankfurt di sini, hari ini.
Yang turut hadir Presiden Persatuan dan Penjual Buku Jerman, Karin Schmidt-Friderichs dan novelis terkemuka, Mohsin Hamid.
Boos berkata, semua pandangan akan didengari bertepatan dengan motto tahun ini, iaitu ‘Translate. Transfer. Transform.’
“Kami sangat meyakini industri buku berupaya menyediakan ruang persefahaman yang sangat penting sama ada dengan menterjemah karya dari satu bahasa ke bahasa lain, menampilkan solidariti global antara profesional industri buku atau memudah cara hubungan antarabangsa yang berlaku di sini,” katanya.
Sementara itu, Schmidt-Friderichs meminta ahli politik termasuk kerajaan campuran negara itu untuk melindungi industri buku.
“Pesta Buku Frankfurt ialah pasaran buku dan sastera terbesar di dunia. Pada masa sama, adalah penting untuk mempromosi persefahaman antarabangsa.
“Dalam dunia yang memperlihatkan keretakan politik, kebudayaan dan ideologi semakin ketara, pesta buku mencipta ruang pertukaran aman serta demokratik.
“Apatah lagi kita berada dalam era ketidaktentuan, penerbit dan penjual buku mahu mewujudkan ‘bekalan’ menyeluruh sastera, karya bukan fiksyen serta maklumat,” katanya.
Beliau berkata, ketika pandemik, industri buku membuktikan daya tahan hebat dalam tempoh dua tahun ini tetapi pasaran dan keadaan global tidak stabil memberikan cabaran utama baharu.
“Industri sangat memerlukan sokongan daripada pembuat polisi bagi membolehkan mereka meneruskan usaha menunaikan mandat sosial seperti yang sepatutnya,” katanya.
Pesta Buku Frankfurt akan dirasmikan oleh pasangan diraja Sepanyol, Raja Felipe VI dan Ratu Letizia, serta Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier jam 5 petang ini (waktu tempatan).
Krisis Russia-Ukraine yang melatari Eropah dan dunia ketika ini, turut memperlihatkan impak ketara termasuk kepada penganjuran pesta buku ini dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dijadual turut tampil secara maya semasa pertemuan Persekutuan Penerbit Eropah (FEP), manakala Wanita Pertama Ukraine, Olena Zelenska turut berbuat demikian dalam sesi BRIGITTE Talk.
Delegasi Malaysia pula diketuai Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron dan disertai institusi kerajaan, pelbagai penerbit buku persendirian dan swadaya, selain Sekolah Seni Kuala Lumpur.
Sumber: Berita Harian, 18 Oktober 2022.
Comments are closed