FRANKFURT: Ketika pengarang hikayat tradisional, Ninot Aziz meninggalkan Malaysia untuk menyertai Pesta Buku Frankfurt (FBF) di sini, beliau agak gugup kerana bukan hanya sendirian dalam perjalanan itu, bahkan kali pertama menyertai acara perbukuan terbesar dan tertua di dunia.
Apatah lagi, FBF disertai 4,000 penggiat industri buku dari seluruh dunia termasuk penerbit, penjual, ejen dan pengarang, sekali gus dianggap pentas terpenting dalam dagangan hak cipta buku global.
Perasaan itu masih berbaki ketika delegasi Malaysia memulakan operasi di Pavilion Malaysia pada hari pertama penganjurannya, semalam tetapi tidak lama kerana ia terus hilang apabila karyanya memikat hati penerbit dari Itali.
Malah, ia turut mencatat sejarah kerana buat julung kali hak cipta buku Malaysia berjaya dijual pada pagi hari pertama FBF berlangsung.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara Hikayat Fandom mewakili Ninot dengan Letterrarie Menti itu, membabitkan jualan hak cipta empat bukunya, iaitu Seri Gumum: Puteri Tasik Cini; Legenda Bidasari: Dari Syair Agung Puteri Kembayat; Bentala Naga: Kisah Dari Makyong dan Puteri Saadong: Srikandi Sekebun Bunga Cerang Tegayung.
Letterrarie Menti diwakili Anna Rita Angelelli dan Maria Grazia Beltrami.
Ninot berkata, wakil penerbit Itali yang bersetuju membeli hak cipta untuk keempat-empat buku itu diterjemah ke bahasa Itali, sememangnya mencari dunia baharu dalam konteks budaya asli.
“Malah, antara elemen menarik perhatian mereka juga ialah semua watak wira dalam buku saya adalah wanita yang sukar dicari dalam karya legenda kerana biasanya menampilkan pahlawan lelaki.
“Sememangnya saya mencari peluang untuk berurusan dengan penerbit sastera kanak-kanak dari Itali dan Perancis kerana belajar kedua-dua bahasa itu ketika di universiti,” katanya kepada BH di sini, hari ini.
Ninot berkata, beliau juga menyasarkan Itali kerana negara itu bakal menjadi Negara Tamu Kehormat Pesta Buku Frankfurt 2024, sekali gus berpotensi mendapatkan peluang penterjemahan.
Ini kerana negara yang berjaya memperoleh kedudukan itu biasanya memperuntukkan dana besar untuk penterjemahan.
Ninot berkata, bagi urusan perundangan berkaitan hak cipta, beliau merujuk kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
“Sebenarnya MBKM membiasakan benda tidak biasa kepada peserta delegasi Malaysia kerana mereka mengadakan sesi padanan dalam talian sebelum datang ke sini, sekali gus meminta kita bercakap dengan penerbit luar negara.
“MBKM juga menganjurkan Klinik Persediaan Hak Cipta sebagai persiapan untuk berurusan dengan penggerak industri buku antarabangsa.
“Saya turut berterima kasih dengan syarikat bzBee Consult Sdn Bhd yang memberikan sokongan, selain Sasterawan Negara (SN) Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Yayasan Hasanah, sekali gus menunjukkan kepentingan kita mempunyai sistem sokongan,” katanya.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Farzamie Sarkawi, berkata penjualan hak cipta itu diharap dapat melebarkan pengaruh dan identiti Malaysia di Itali, sekali gus memberikan kesan rantaian kepada urus niaga delegasi negara di Pesta Buku Frankfurt.
“Kami mengalu-alukan kehadiran penggiat industri buku yang juga menjadi delegasi terbesar dalam sejarah pembabitan negara di Pesta Buku Frankfurt dalam dekad ini.
“Dalam konteks Jerman, negara ini mempunyai peluang ekonomi termasuk untuk industri buku tetapi penggiat perlu membuat persediaan termasuk dari segi kos dan penterjemahan,” katanya selepas melancarkan 50 Judul Terbaik Malaysia untuk Hak Cipta Antarabangsa 2021/2022.
Malah, potensi besar Pesta Buku Frankfurt disertai penggiat global itu turut diintai Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang bakal menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor pada hujung tahun ini.
Pengarahnya, Datin Mastura Muhamad, berkata kehadiran PPAS bertujuan menarik perhatian penggiat industri buku dunia kerana buat pertama kali Pesta Buku Selangor dinaik taraf kepada status antarabangsa.
“Antara fokus utama pesta buku itu nanti juga adalah karya dan kandungan menumpukan pembaca dalam kalangan kanak-kanak, sekali gus memberikan manfaat kepada generasi muda dari sudut pengisian kehidupan lebih bahagia.
“Kami juga mahu menjadikan pesta buku itu sebagai medium mendidik generasi muda mula untuk menulis,” katanya.
Delegasi Malaysia dalam Pesta Buku Frankfurt diketuai Pengarah MBKM, Mohd Khair Ngadiron dan diserta penerbit institusi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS), PPAS, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), selain pelbagai penerbit buku besar, persendirian, swaterbit dan Sekolah Seni Kuala Lumpur.
Selain jualan hak cipta kepada negara luar, penerbit tanah air juga berpeluang membeli hak cipta karya dan buku merentas genre dihasilkan pengarang antarabangsa dalam kalangan sarjana, negarawan, sasterawan dan tokoh pelbagai bidang.
Comments are closed