Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang memberikan maklumbalas kepada JK Pengelola PBAKL 2024 melalui pelbagai saluran rasmi serta tidak rasmi.
Setinggi penghargaan diucapkan kepada YB Fadhlina Sidek, dan pegawai-pegawai beliau atas kehadiran dan keprihatinan bagi memastikan isu ini ditangani dengan sebaik mungkin.
Kehadiran kesemua Presiden Persatuan Perbukuan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, wakil Dewan Bahasa dan Pustaka, wakil Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, pempamer, pemain industri, serta semua yang telah menyertai sesi “Dialog Ke Arah Penambahbaikan PBAKL” pada 29 Disember 2023 yang lalu juga sangat dihargai dan ianya menandakan keseriusan masing masing demi memastikan industri perbukuan kita terus berada di tahap teratas.
JK Pengelola berterima kasih kepada semua yang hadir dan telah menyuarakan pandangan semasa sesi dialog tersebut. Justeru, kami ingin menyatakan komitmen kami untuk menyantuni semua cadangan yang boleh memberi nilai tambahan kepada kualiti penganjuran PBAKL yang akan datang.
Sehubungan dengan itu, kami bersetuju untuk mengadakan proses penstrukturan semula reruai terutamanya yang melibatkan penempahan reruai sebelum tarikh rasmi tempahan.
Cadangan mekanisme yang dimaksudkan akan dimaklumkan pada atau sebelum 15 Januari 2024. Selanjutnya, ruang maklumbalas dan persetujuan akan diberikan kepada semua pempamer PBAKL 2024.
Adalah sangat penting pada saat ini untuk semua pemain industri perbukuan bersatu hati dan bersama-sama bekerja keras bagi memastikan PBAKL 2024 adalah yang terbaik dalam sejarah industri perbukuan Malaysia.
Akhir kata, selaku Pengerusi JK Pengelola PBAKL 2024, setulusnya saya ingin memohon maaf atas segala kelemahan pengurusan proses tempahan reruai kali ini. Seluruh JK Pengelola akan memastikan syarat syarat dan peraturan yang lebih kemas dilaksanakan di masa akan datang dan perkara sebegini tidak akan berulang lagi.
Sebarang saranan lanjut boleh diajukan terus kepada mohdkhair@moe.gov.my
MOHD KHAIR BIN NGADIRON
Pengerusi JK Pengelola
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024
30 DISEMBER 2023
Comments are closed