KENYATAAN MEDIA
PELAKSANAAN PENAMBAHBAIKAN PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR.
Pada 29 Disember 2023, satu sesi “Dialog Ke Arah Penambahbaikan PBAKL” telah diadakan
oleh Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (JKP PBAKL) 2024 bersama-sama pempamer, syarikat penerbit dan pemain industri perbukuan. JKP PBAKL mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang memberikan pandangan, maklum balas, kritikan, serta strategi maju ke hadapan bagi memastikan kejayaan PBAKL 2024 dan seterusnya.
Dalam dialog tersebut, penyelesaian yang dipersetujui oleh kesemua yang hadir adalah untuk mengadakan inisiatif menstruktur semula dan menempatkan semula (‘restructure and reallocate’) reruai bagi pempamer yang telah membuat penempahan reruai dengan jumlah sebanyak 10 reruai atau lebih. Tawaran lokasi terkini berasaskan inisiatif yang dimaksudkan telah dimaklumkan kepada semua syarikat pempamer yang terlibat pada hari ini iaitu 15 Januari 2024.
Selanjutnya, pihak pempamer, syarikat penerbit dan pemain industri yang terlibat dikehendaki untuk mengisi borang maklum balas persetujuan / penolakan lokasi terkini yang ditawarkan. Maklumbalas tersebut haruslah dikembalikan kepada pihak penganjur sebelum atau pada 20 Januari 2024. Setelah mendapat maklumbalas tersebut, pihak Jawatankuasa akan mengeluarkan senarai muktamad reruai pada minggu terakhir Februari 2024.
Bagi pempamer yang membuat tempahan kurang daripada 10 reruai, proses pengundian tapak (balloting) akan diadakan pada minggu pertama Mac 2024.
Untuk strategi maju kehadapan, JKP PBAKL juga telah mengambil ketetapan bahawa bermula tahun 2025, satu polisi baharu akan diperkenalkan iaitu bagi menambahbaik proses penawaran reruai termasuklah soal pengundian tapak PBAKL. Satu Jawatankuasa Khas Penawaran Reruai yang akan turut dianggotai oleh tiga wakil pempamer akan ditubuhkan bagi maksud tersebut.
Akhir kata, selaku Pengerusi dan mewakili barisan anggota JKP PBAKL 2024, adalah dengan ini dinyatakan komitmen kami bagi memastikan pelaksanaan PBAKL 2024 dapat dilangsungkan dengan jayanya. Kini merupakan waktu paling kritikal untuk kita semua bersatu hati dan mula bersiap-siaga melancarkan promosi besar-besaran PBAKL 2024.
Kerjasama semua pihak termasuk pempamer dan pemain industri sangat diharapkan demi
pemerkasaan industri perbukuan Malaysia.
MOHD KHAIR BIN NGADIRON
Pengerusi JK Pengelola
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024
15 JANUARI 2024
Comments are closed