KENYATAAN MEDIA
JK Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (JKP PBAKL) mengucapkan setinggi tahniah kepada kesemua pemain industri perbukuan Malaysia di atas sambutan yang sangat memberangsangkan terhadap penawaran reruai PBAKL 2024.
Penganjuran bagi tahun ke-3 pasca pandemik ini memperlihatkan kemampanan penganjuran program perbukuan yang sudah mencapai suatu tahap kematangan. Sebagai sebuah program yang didanai 100% oleh jualan reruai tanpa menggunakan mana-mana dana awam, PBAKL 2024 kali ke-41 ini dilihat akan terus berupaya menjadi jenama yang kuat dan berupaya menarik jutaan pengunjung dalam masa 10 hari penganjuran.
Sesungguhnya, menguruskan suatu pesta keilmuan di tahap ini dengan keupayaan mengimbangi keuntungan kepada industri dan memberi kepuasan kepada para pembaca bukanlah mudah. Dengan mengambil kira permintaan yang semakin meningkat, PBAKL 2024 menawarkan sebanyak 969 reruai berbanding 823 reruai pada tahun 2023 yakni peningkatan sebanyak 11.7%. Kelebihan penempahan secara pukal disediakan kepada semua para pemain yang bersedia, semenjak pengurusan PBAKL yang terdahulu. Faktor logistik susunan reruai antaranya memerlukan pihak pengurusan mengutamakan tempahan bilangan yang banyak dalam menyusun atur dewan.
Justeru, berikut dimaklumkan penambahbaikan mahupun pengekalan strategi bagi memastikan kelicinan pengurusan:
- JKP PBAKL akan mengadakan regulasi yang lebih kemas terutamanya berkaitan bilangan minimum, saiz, ketinggian, dan pemilihan lokasi pada masa yang akan datang. Regulasi ini akan disebarluaskan kepada pemain industri bagi memastikan kesamarataan peluang kepada semua;
- Menyusun semula susun atur Dewan Merdeka bagi PBAKL 2024. Justeru, kesemua pemain industri yang masih belum mendapat reruai masih akan disantuni dan berpeluang membuat tempahan dalam masa terdekat;
- Memastikan sebarang maklumat terkini berkaitan harga, saiz, tarikh pembelian awal, dan sebagainya akan terus dihebahkan melalui satu medium rasmi sahaja;
- Memastikan kemapanan program ini di masa hadapan, terutamanya menggunakan strategi promosi media cetak dan eletronik yang berkesan demi menarik khalayak yang ramai dan berkualiti; dengan mengekalkan bayaran penuh ketika tempahan.
- JKP PBAKL juga sedang meneliti potensi pendigitalan tempahan reruai yang bersifat lebih terbuka, telus, dan mampu menyelesaikan isu-isu berbangkit tahun ini. Satu JK Khas akan dibentuk bagi tujuan ini. Pendigitalan tempahan reruai ini akan dirintis dan dijangka dapat diperkenalkan pada PBAKL 2025.
JKP PBAKL 2024 akan terus membuka ruang dan peluang kepada semua pemain industri agar dapat bersiap siaga di tahap maksimum dalam masa 5 bulan yang akan datang ini. Bagi memastikan jualan yang memberangsangkan untuk semua, walau di mana lokasi yang berjaya ditempah tahun ini, para pemain digesa untuk memanfaatkan pengenalan produk perbukuan baharu dan berkualiti, penggerakan kumpulan peminat sedia ada, pengaruh media sosial, mahupun jualan secara langsung (LIVE) di reruai masing-masing agar tidak hanya bergantung kepada aliran pelanggan ke reruai semata-mata.
Bagi memastikan suara semua terus didengari, satu sesi “DIALOG KE ARAH PBAKL YANG LEBIH BAIK” akan diadakan pada 29 Disember 2023 jam 3:00 petang di MBKM, Blok 2251, Bangunan Mustapha Kamal, Cyberjaya.
Kesemua pemain industri perbukuan dijemput hadir.
-TAMAT-
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia
Persatuan Penerbit Buku Malaysia
Persatuan Penjual Buku Malaysia
Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia
Persatuan Kontraktor Buku Malaysia
Persatuan Industri Buku Bumiputera Malaysia
Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia
19 DISEMBER
Comments are closed