Kredit gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Bersempena Setahun Malaysia Prihatin, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberi jaminan penjawat awam akan sentiasa mendukung aspirasi kerajaan dalam membantu rakyat yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Presidennya Adnan Mat berkata penjawat awam dan pemimpin kerajaan harus bergerak seiring tanpa sebarang prejudis bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan berjalan lancar demi kebaikan rakyat dan negara.

“Bagai aur dengan tebing seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, penjawat awam dan kerajaan pada hari ini tidak dapat dipisahkan kerana fokus utama kedua-dua pihak ialah untuk membantu rakyat dan menjadi pemudah cara kepada sektor ekonomi.

“CUEPACS juga berharap kerajaan sentiasa memberi kepercayaan yang penuh kepada semua warga penjawat awam kerana setiap tindakan yang dilakukan oleh kami semua ialah untuk negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Adnan berkata sejak berlaku perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum 2018 hingga hari ini, CUEPACS melihat tiada masalah untuk penjawat awam berpegang teguh pada prinsip mendukung kerajaan.

Katanya pentadbiran kerajaan terus berjalan lancar tanpa sebarang masalah dalaman kerana setiap penjawat awam sentiasa berpegang teguh pada prinsip profesionalisme dan neutralisasi yang tinggi dalam tugasan masing-masing.

“CUEPACS berharap segala dasar dan polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan mampu dilaksanakan dengan berkesan oleh setiap penjawat awam di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Mohd Khair Ngadiron berkata pihaknya menyambut baik amanat serta hasrat perdana menteri dalam pemerkasaan ekonomi digital untuk menyokong pertumbuhan ekonomi industri perbukuan.

Katanya bagi menyokong usaha itu yang bertujuan menjadikan Malaysia berdaya saing dalam era digital, MBKM akan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dalam talian terbesar di Malaysia dari 19 Mac hingga 4 April ini.

“Penganjuran pesta buku ini telah berjaya menarik lebih 135 penyertaan dalam kalangan industri buku yang terdiri daripada syarikat dan penerbit buku. Hal ini menunjukkan peningkatan sebanyak 279 peratus berbanding jualan pada 2020 yang disertai 48 syarikat dan penerbit buku,” katanya.

“Penganjuran PBAKL dalam talian ini adalah inisiatif MBKM untuk membaik pulih ekonomi industri perbukuan negara akibat penularan COVID-19 yang memberi kesan terhadap lambakan stok buku,” jelasnya.

Mohd Khair berkata MBKM telah memulakan inisiatif pemerkasaan ekonomi digital dari  25 Jun hingga 8 Julai 2020 dengan mengadakan PBAKL 2020 secara dalam talian yang pertama dan terbesar di Malaysia.

Katanya pada tahun ini, MBKM menyasarkan jualan buku sekurang-kurangnya 100,000 unit berdasarkan kiraan purata yang dihasilkan tahun lepas iaitu sebanyak 27,654 unit tempahan dengan jualan melebihi 59,000 unit buku.

Sumber: https://wacana.my/2021/03/01/penjawat-awam-sentiasa-mendukung-aspirasi-kerajaan-cuepacs/

Category
Tags

Comments are closed