PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur PBAKL 2022 kali ini nampaknya sangat meriah, pulang ke tampuk ke PWTC, amat ditunggu tunggu oleh penerbit dan penulis. Dua tahun pandemik, penulis, penterjemah dan penerbit terutamanya menggunakan masa MCO untuk menghasilkan karya-karya yang baik.

Dua minggu sebelum PBAKL semua penerbit yang mengambil bahagian dalam PBAKL rancak mempromosi penulis dan buku-buku masing-masing di media sosial. Tidak lupa, pengilustrasi dan pelukis yang menghasilkan sampul buku, ilustrasi dan zine, semuanya menyumbang dan mencorakkan industri ini.

PBAKL 2022 pulang ke lokasi asal di Putra World Trade Centre setelah industri buku mengharungi cabaran pandemik Covid 19 selama 2 tahun. Namun, ada pengajaran dari pengalaman 2020 dan 2021 yang mana industri buku lebih banyak menggunakan jualan dalam talian demi memastikan keberadaan industri.

PBAKL kali ini hadir dalam bentuk ‘hybrid’, di mana lebih 500 reruai menanti peminat buku di PWTC dari 3 hingga 6 Jun 2022 dan waktu pameran dilanjutkan dari 10 pagi hingga 10 malam. Tambahan pula, pesta buku turut dipanjangkan secara dalam talian KLIBF 2022 membolehkan pengunjung atas talian mencari buku-buku terbaru dari Malaysia.

Dianggarkan 1 juta peminat bakal membanjiri PBAKL selama 10 hari ‘beraya buku’. Penyertaan pemain industri perbukuan juga begitu memberangsangkan dengan 170 pempamer tempatan, 20 pempamer antarabangsa dan 530 Reruai di PBAKL.

Sejujurnya, penganjuran PBAKL adalah amat penting kepada pembangunan industri buku kerana ia dapat menyumbang pada ekonomi negara. Lebih utama, PBAKL meningkatkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) memaklumkan bahawa dari segi mutu dan bilangan judul bahan bacaan yang dipamerkan, terserlah peningkatan, terutamanya buku professional dan buku akademik.

Tahniah diucapkan kepada MBKM, Kementerian Pendidikan Malaysia. Jelas kerjasama dengan pelbagai pihak iaitu

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku (PKB), Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM), Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM), Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se Malaysia (MPAM) dan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) membawa kejayaan menghidupkan PBAKL 2022 dengan baik. Bukan sekadar itu, PBAKL diperbaiki dengan meggalakkan seksyen Mandiri bagi penulis, ilustrator, penerbit buku zine dan swafoto serta mengadakan Gudang Jualan Berbaloi.

Menurut MBKM, antara objektif penganjuran PBAKL adalah seperti yang berikut:

  1. Memajukan industri penerbitan buku tempatan. dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bidang perbukuan seperti penulisan, penyuntingan. ilustrasi, penterjemahan, dan pemasaran buku di negara ini.

2.Mempromosikan judul-judul terkini bahan terbitan tempatan,sama ada bahan bercetak mahupun bahan elektronik dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dari dalam dan luar negara;

3.Memupuk kesedaran tentang kepentingan buku sebagai pembekal ilmu dan pengayaan minda untuk pembinaan modal insan;

4.Menggalakkan tabiat budaya membaca dalam kalangan rakyat di semua peringkat, khususnya pada generasi muda dan institusi keluarga; dan

5.Menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub bagi penerbitan dan pemasaran buku serta perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan di rantau ini.

Selama ini, PBAKL menerima banyak kritikan. Ada pihak yang mengatakan kenapa ingin berpesta buku kerana buku fizikal tidak lagi relevan. Ada yang mengatakan PBAKL amat terhad dan bermacam-macam lagi. Sejujurnya, saya melihat PBAKL 2022 begitu bail dari seri penganjuran, promosi dan penglibatan ke akar umbi.

Apa yang lebih penting adalah usaha menyemarakkan kandungan tempatan. Ini amat kritikal untuk mencetuskan cabang kreativiti lain seperti filem, animasi, e-sports dan lain lain. Semuanya bermula dengan industri buku, samada fizikal atau dalam talian, yang baik.

Dan inilah antara kejayaan PBAKL. Saya melihat ramai rakan-rakan penulis memperbanyakkan karya masing-masing. Antara barisan penulis muda yang terserlah menerbitkan buku contohnya Ayman Rashdan Wong, Awan Wafdan, Aliff Mustafa dan rakan-rakan barisan penulis dari Patriots Publishing yang menerbitkan 19 buku di ambang PBAKL ini.

Saya sendiri bakal melancarkan susulan Lipur Lara Nusantara berjodol Lipur Lara Alam Melayu terbitan Patriots Publishing dan 4 tajuk di bawah Siri Legenda Malaysia- antara buku terbaik saya pernah hasilkan bersama editor Raman Krishnan dan barisan pengilustrasi , Walid Muhammad, Ariyana Ahmad dan Dani Warguide.

Membuka tirai Pesta Buku Frankfurt

PBAKL ini juga bertindak membuka tirai pesta buku hinggalah ke Frankfurt bulan Oktober nanti. Ini sangat penting bagi memperkasa industri buku kita dan dalam mengantarabangsakan Bahasa Melayu ke persada dunia. Setiap tahun MBKM akan membuat pemilihan 50 buku terbaik Malaysia sebagai persiapan ke Pesta Buku terbesar dunia dan PBAKL membantu menggalakkan penghasilan buku-buku bermutu tinggi.

Ayuh, pembaca dan peminat tegar buku buku Malaysia dan antarabangsa. Silalah bersama industri buku menyokong PBAKL 2022. Diharap semua yang terlibat samada yang memastikan SOP terjaga sepanjang pesta dan mendapat manfaat membeli buku untuk keluarga bagi menambah ilmu.

Budaya membaca buku sebati dengan penambahan ilmu!

Ninot Aziz.

Sumber: Malaysia Gazzete, 5 Jun 2022.

Category
Tags

Comments are closed