KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu budaya membaca dikekalkan di negara ini, lantaran menyedari kegagalan berbuat demikian bakal ‘membunuh’ industri buku serta karyawan.
Perdana Menteri berkata, kegagalan mengekalkan budaya membaca di Malaysia juga akan menghancurkan usaha kerajaan membina negara bangsa berjaya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia untuk terus menerapkan budaya membaca bagi melahirkan masyarakat bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian unggul.
“Kegagalan kita mengekalkan budaya membaca bukan hanya menjejaskan dan menghancurkan usaha kerajaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya, tetapi juga ‘membunuh’ industri buku dan karyawannya.
“Saya minta seluruh Keluarga Malaysia agar menerapkan budaya membaca bagi melahirkan masyarakat yang bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian unggul,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron; dan Pemangku Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Mengulas penganjuran PBAKL, Ismail Sabri memaklumkan, pesta buku yang julung kali diadakan secara fizikal dan dalam talian itu, menyasarkan kehadiran antara 700,000 hingga sejuta pengunjung secara bersemuka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Perdana Menteri turut menzahirkan kebanggaannya dengan penganjuran PBAKL tahun ini yang berjaya menghimpunkan 167 pempamer dari dalam dan luar negara, selain dimeriahkan dengan pembukaan 709 reruai oleh pemain industri buku dan rakan strategik PBAKL.
Dengan status PBAKL sebagai pesta buku terbesar negara, beliau yakin ia mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri buku dan memupuk budaya membaca serta mewujudkan masyarakat celik ilmu.
“Kerajaan akan terus menyokong PBAKL, pesta-pesta buku serta sebarang aktiviti penerbitan buku sebagai perusahaan pendidikan dan budaya bagi memperkukuh budaya membaca Keluarga Malaysia.
“Kementerian Pendidikan (KPM) melalui MBKM dan agensi berkaitan hendaklah melaksanakan usaha yang lebih giat bagi memajukan lagi industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti yang berkaitan dengannya,” katanya.
Beliau turut menggesa pengarang, penerbit dan semua pemegang taruh dalam industri buku berperanan dengan menghasilkan buku berkualiti bagi memperkasakan industri perbukuan negara.
“Usaha ini juga dapat menyokong pertumbuhan dan memupuk kelangsungan pembinaan negara bangsa melalui budaya membaca,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri bersama Radzi mengambil kesempatan meninjau beberapa reruai yang mempamerkan pelbagai buku di PBAKL.
Sumber: Berita Harian, 4 Jun 2022.
Comments are closed