Oleh Nina Farzuin Md Sharom (Sumber: Selangor Kini)

SHAH ALAM, 28 Julai: Kerajaan Negeri berusaha mengetengah Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor ke peringkat antarabangsa sehingga menjadi rujukan dunia.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata biarpun usaha itu dilihat sukar namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

“Kita mahu pesta buku kanak-kanak ini setanding dengan Pesta Buku Kanak-Kanak Antarabangsa (BCBF) di Bologna, Itali yang menjadi rujukan negara di seluruh dunia.

“Dengan apa yang kita usahakan, kita berharap dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi acara ini bukan hanya boleh menjadi pusat rujukan di dalam negara, malah di peringkat Asia Tenggara,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2023 di Kompleks PKNS Shah Alam di sini hari ini.

Amirudin menambah penganjuran pesta buku dilihat mampu menambah baik pembentukan sahsiah dan jati diri anak-anak yang kini berdepan pelbagai cabaran terutamanya melibatkan gajet.

“Saya harapkan kerjasama semua pihak kerana apa yang kita lihat hari ini ada cabaran yang membimbangkan iaitu tarikan anak-anak terhadap gajet.

“Disebabkan itu pesta buku ini, kita himpunkan karya-karya dengan grafik dan ilustrasi menarik supaya kita dapat mengalih perhatian anak-anak kepada buku,” katanya.

Selaras dengan usaha pembangunan negeri, Dato’ Menteri Besar berkata pendidikan adalah keutamaan buat Kerajaan Negeri dalam memastikan generasi muda sentiasa dilindungi.

“Sebelum ini kita gabungkan semuanya dalam satu acara pesta buku, dan kita sedar bahawa buku melibatkan kanak-kanak memiliki forte tersendiri yang wajar kita kembangkan.

“Saya harapkan kerjasama daripada semua pihak kerana penganjuran ini akan melahirkan masyarakat yang lebih matang kerana ia mendedahkan ilmu pengetahuan serta maklumat yang berguna kepada generasi muda,” katanya.

Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) diadakan selama empat hari bermula hari ini.

Acara itu turut menghimpunkan seramai 81 pempamer yang terdiri daripada penerbit dan penulis buku genre kanak-kanak yang menghasilkan karya untuk peringkat umur bawah 18 tahun.

Tags

Comments are closed