FRANKFURT (Jerman): Sebanyak 4,000 pempamer dari 95 negara termasuk 80 wakil industri buku Malaysia bertemu lagi di Pesta Buku Frankfurt di sini yang berlangsung dari Rabu hingga Ahad ini.
Selepas dua tahun industri buku terhenti akibat pandemik Covid-19, pesta buku dagangan hak cipta ini kembali bergerak sepenuhnya.
Presiden Pesta Buku Frankfurt, Juargen Boos berkata pihaknya masih yakin untuk melihat penggerak industri buku kembali menyemarakkan pesta buku berkenaan sekali gus ekonomi perbukuan global.
“Saya tidak sabar untuk bertemu dengan ramai pengarang, penerbit dan rakan dagangan lagi. Manusia akan bercakap dengan nada berlainan apabila bersemuka,” katanya pada sidang media Pesta Buku Frankfurt pada Rabu.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron disertai institusi kerajaan dan pelbagai penerbit buku selain Sekolah Seni Malaysia.
Turut serta kerajaan negeri Selangor.
Antara penerbit yang mengunjungi pesta buku tersebut ialah Biblio Press yang membawa karya-karya tempatan dan terjemahan ke pesta buku tersebut.
Pengarah Urusan Biblio Press, Kiridaren Jayakumar berkata fokus pihakanya pada tahun ini adalah untuk membeli hak cipta buku selain menjual hak cipta buku Helang Albania karya Dr Maszlee Malik untuk pembaca Albania.
“Tidak sabar untuk menunjukkan buku 1984, Ahli Alkimia, Putera Kecil dan Politik Kandang yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu,” katanya melalui hantaran di Facebook pada Selasa.
Pesta Buku Frankfurt dirasmikan oleh pasangan diraja Sepanyol, Raja Felipe VI danr Ratu Letizia serta Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier pada petang Selasa waktu tempatan.
Sumber: Sumberkini.my, 19 Oktober 2022.
Comments are closed