Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Aktiviti (JKA) Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Tahun 2026 telah diadakan pada 8 September 2026 (Selasa), jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat Melati, Aras 8, Blok E8, Kementerian Pendidikan, Putrajaya. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Pendidikan, Urus Setia Tetap MBKM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) serta persatuan industri buku iaitu Persatuan Pengeksport & Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM). Turut hadir ialah Encik Mohd Khair bin Ngadiron selaku Penasihat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 serta pegawai-pegawai yang berkaitan.
Antara agenda utama mesyuarat ialah perbincangan perkara berbangkit dan pembentangan laporan kewangan MBKM. Mesyuarat turut meneliti laporan daripada tiga jawatankuasa kecil, iaitu Jawatankuasa Kecil PBAKL dan Tugas-tugas Khas, Jawatankuasa Kecil Promosi dan Pengantarabangsaan Karya Malaysia serta Jawatankuasa Kecil Penyelidikan dan Hak Cipta Perbukuan.
Mesyuarat ini menjadi platform untuk membincangkan hal ehwal kewangan dan aktiviti MBKM, di samping menyelaras pelaksanaan program serta inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan industri perbukuan dan pengukuhan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Melalui penglibatan agensi kerajaan dan persatuan industri buku, mesyuarat ini turut mencerminkan kepentingan kerjasama strategik antara sektor awam dengan pihak industri dalam memastikan pengurusan kewangan dan pelaksanaan aktiviti MBKM dilaksanakan secara teratur serta menyokong usaha memajukan ekosistem perbukuan negara.
Mesyuarat diakhiri dengan perbincangan hal-hal lain sebelum ditangguhkan pada jam 11.30 pagi.
.










Comments are closed