PADA 2025, genap 100 tahun sejarah novel Melayu. Ini merujuk pada usia Hikayat Faridah Hanum karya Syed Syeikh Al Hadi yang diterbitkan pada 1925.

Meraikan kesedaran menjelang seabad usia novel moden Malaysia – tidak memadai sekadar menyebut tarikh, judul dan nama yang tercatat dalam sejarah.

Pada usia 100 tahun novel Melayu, kita memerlukan tanda dagang dan tanda aras yang berbaloi mengenai sejarah perbukuan dan kesusasteraan Malaysia.

Pada masa sama, soal buku dan sejarahnya tidak mudah dijelaskan terutama bagi sesi pelaburan jenama.

Sama ada projek 100 Buku Emas ini sebagai satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) atau nilai Advertising And Promotion (A&P), mempromosi pakej perbukuan dan pembacaan satu cabaran baru.

Apa lagi dalam konteks nilai Out Of Home (OOH) yang berbaloi bagi dana pelabur komersil.

Ini situasi ketika berdepan hampir 50 ketua korporat, eksekutif terkanan dan pembuat keputusan bagi Dana Tanggungjawab Korporat (CSR).

Proses pencerahan perlu dijelaskan secara strategik.

Apalagi untuk mengaitkan peranan KLWBC 2020 sebagai platform yang berfungsi sebagai jurucakap mengenai sejarah, cabaran dan tanggungjawab perbukuan dan kempen pembacaan ilmu di Malaysia.

Projek perbukuan terutama bahan bacaan sastera serta buku ilmiah bukan elemen yang prominen dalam pemetaan biaya CSR di negara ini.

Dana CSR di Malaysia melebihi RM5 bilion setahun. Lebih 600 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia memiliki dana CSR.

Begitu juga hampir 500,000 syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang turut mengagihkan keuntungan perniagaan melalui projek CSR.

Kementerian Kewangan mengecualikan cukai 1 peratus daripada untung bersih korporat yang dibelanjakan bagi projek CSR.

Bagi 25 syarikat terbesar di negara ini, nilai dana CSR tahunan berjumlah antara RM40 juta dan RM270 juta per syarikat.

Projek Buku Emas dan akses buku B40

Sesi melobi penajaan bagi pelaksanaan 100 Buku Emas KLWBC 2020 memiliki dua matlamat utama.

Pertama, meraikan menjelang seabad sejarah perbukuan moden Malaysia.

Kedua, menyediakan 100 Buku Emas dengan cetakan antara 5,000 hingga 10,000 naskah per judul bagi edaran kepada isi rumah B40.

Walaupun KLWBC 2020 merujuk pada signifikan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia, edaran 100 Buku Emas disasarkan ke seluruh negara.

Pembabitan dana CSR dan keprihatinan 50 pembuat keputusan untuk hadir dan melihat sisi projek amal KLWBC 2020 amat penting.

Sesi pada 17 Februari menampilkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, selaku Pengerusi Bersama KLWBC 2020 menyampaikan ucaptama.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan turut hadir selaku Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaksana KLWBC 2020.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan turut menyampaikan penjelasan mengenai KLWBC 2020 kepada 60 peserta Rakan Strategik KLWBC 2020

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan turut menyampaikan penjelasan mengenai KLWBC 2020 kepada 60 peserta Rakan Strategik KLWBC 2020. – Gambar Sekretariat KLWBC 2020

Mempromosi akses buku B40 sebagai CSR baru

Kajian Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (Unesco) menunjukkan 31 peratus isi rumah di Kuala Lumpur langsung tidak memiliki akses meski pun pada sebuah buku.

Kuala Lumpur dengan dua juta penduduk dan hampir 500,000 isi rumah, memiliki realiti yang menyedihkan mengenai perbukuan.

Angka 31 peratus bererti lebih 150,000 isi rumah Kuala Lumpur langsung tidak memiliki kemampuan memiliki sekali pun sebuah buku.

Apa lagi menyumbang pada peningkatan peratusan tabiat membaca.

Ini fakta sangat mengejutkan. Namun, itu data Unesco berdasarkan kajian pada 2018.

Data ini ada persamaan dengan kajian Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) pada Februari 2018.

Unicef mendedahkan 30 peratus kanak-kanak yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak mendapat akses makanan mencukupi.

Selain itu, Unicef turut menyiarkan kajian, 22 peratus kanak-kanak PPR turut berdepan masalah kekurangan nutrisi.

Sekiranya imbangan data ini diselaraskan – wujud angka yang hampir sama antara yang gagal mendapat akses makanan dan yang tidak memiliki akses perbukuan.

Data ini memberikan gambaran, kemiskinan dan kos sara hidup adalah kekangan tegar yang menyebabkan isi rumah berpendapatan rendah gagal mendapatkan buku.

Sekiranya purata ini dinasionalkan, ertinya kita menyuluh realiti 2.8 juta isi rumah B40 di seluruh negara.

Kita boleh berpegang pada realiti, 40 peratus isi rumah berpendapatan rendah di negara ini turut berdepan dengan kekangan kemampuan memiliki buku.

Pengerusi Bersama KLWBC 2020, Khalid Samad menjelaskan pada media matlamat Projek 100 Buku Emas KLWBC 2020. - Gambar Sekretariat KLWBC 2020

Pengerusi Bersama KLWBC 2020, Khalid Samad menjelaskan pada media matlamat Projek 100 Buku Emas KLWBC 2020. – Gambar Sekretariat KLWBC 2020

Bagaimana kadar membaca boleh ditingkatkan apabila 40 peratus isi rumah langsung tidak berpeluang memiliki bahan bacaan?

Ini isu utama. Sekiranya, 2.8 juta isi rumah gagal membeli buku, ertinya industri perbukuan juga secara total sudah kehilangan 40 peratus potensi pasaran.

Kehadiran 50 eksekutif elit sebagai pembuat keputusan korporat yang mewakili lebih 30 syarikat ternama pada sesi mendapatkan Rakan Strategik KLWBC 2020 amat penting.

Permasalahan perbukuan di negara kita memerlukan rakan strategik baharu. Malah, kita perlu membina ekosistem dan cetak biru masa depan bagi mengubah landskap perbukuan.

Paling tidak, KLWBC 2020 perlu berperanan menjadi makmal penting sebagai sumber dapatan kombinasi strategik.

Ini penting bagi memastikan wujud data dan sumber baharu bagi menjayakan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2021-2030 yang dilancarkan pada 13 Februari lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan, pentingnya sokongan sektor swasta dalam menjana budaya membaca di negara ini.

Angkat topi pada taikun sohor

Tetamu yang hadir pada sesi tertutup ini antaranya Tan Sri Tony Fernandez (Air Asia), Cheah Ming Chiew, (Sunway Group) dan Shamsul Bahrin Mohamad (TM Group).

Selain pengurusan kanan Telekom, Celcom Axiata, SP Setia, McDonald’s, Jakel Trading, Shell, Petron, Ecoworld, TNB, Plus, KWSP, Firefly, Cagamas, UEM, MRCB, MPH, DRB Hicoms dan Prasarana Nasional.

Terima kasih juga kepada semua korporat ternama yang turut hadir menyokong usaha mencari Rakan Strategik KLWBC 2020.

100 Buku Emas dan Dana CSR

Buku emas ialah projek terbesar KLWBC 2020 dengan kos anggaran RM15 juta. Ini bagi merealisasikan usaha menerbitkan 100 judul buku terpilih dengan 5,000 ke 10,000 cetakan per judul.

Dengan 500,000 hingga 1 juta naskhah cetakan keseluruhan, KLWBC 2020 berharap, ia mampu menjadi pembuka jalan kerjasama antara sektor korporat dengan industri perbukuan serta rakyat marhaen.

Sekiranya kita mengejar akses pembacaan 31 buah buku setahun dan cetakan 32,000 judul – kita tidak boleh bergantung pada ekosistem sekarang.

Sejak lima tahun lalu, kita gagal menanjakkan angka penerbitan sekali pun sekadar mencapai 20,000 judul buku setahun.

Standard Unesco ialah 0.1 peratus per kapita penduduk. Ertinya, angka relevan sasaran kita ialah 32,000 judul setahun.

Malah, pada 2016, angka judul yang diterbitkan hanya 17,123 buah. Manakala pada tahun-tahun selepas itu, angkanya masih menyusut berikutan kelembapan ekonomi.

Banyak yang bertanya, malah menyindir mengenai KLWBC 2020. Ada yang sudah melaras bedil untuk menembak penganjur.

Kita patut melihat tanggungjawab yang lebih besar. Terutama menjadikan jenama KLWBC 2020 sebagai makmal utama ke arah menyediakan lanskap lebih kompetetif untuk industri perbukuan.

Mendapatkan rakan strategik dan menguasai 5 peratus dana CSR bagi membantu penyuburan industri perbukuan adalah cabaran terbesar.

Hanya dengan sumbangan 5 peratus dana CSR, industri perbukuan mampu menerima suntikan modal baharu sekitar RM300 juta setahun.

Ini angka yang mampu meningkat sekitar 25 peratus kuasa beli baharu.

Ia pelaburan tambahan bagi memangkin kelembapan industri perbukuan yang dijangka kekal dan sukar berkembang secara mandiri dalam tempoh sedekad DMK 2021-2030.

Malah, ia tawaran menarik bagi meluaskan pilihan potensi baharu kepada pemain CSR untuk mengubah landskap hala tuju dana tanggungjawab sosial korporat.

Sesi ini tidak melihat secara rigid soal Return On Investment (ROI). Manfaat jenama bukan segala-galanya.

Ini sesi antara sektor korporat dan KLWBC 2020 melihat masa depan negara bangsa dan kemajuan industri perbukuan secara total.

Paling prominan, usaha menerbitkan 100 Buku Emas menjadikan KLWBC 2020 bukan setakat keraian dan temasya.

Sebaliknya, sebagai ladang segar untuk menyuburkan formula baharu bagi mencapai matlamat negara menuju budaya bangsa membaca.

Industri buku sangat memerlukan suntikan modal baharu. Kerajaan pula memerlukan rakan strategik bagi mencapai matlamat meningkatkan kadar pembacaan.

Manakala pemain CSR mahukan pilihan terbaik dalam membelanjakan dana sosial bagi memastikan ia relevan dengan aspirasi korporat.

KLWBC 2020 menjadi institusi yang berusia 365 hari tetapi berperanan sebagai pembuka jalan bagi memakmurkan dunia perbukuan masa depan.

Status Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia tentunya tidak boleh diukur hanya dengan hanya menghitung jumlah acara.

KLWBC 2020 perlu memainkan peranan bijak sebagai platform merangka perjalanan masa depan perbukuan dan pembacaan.

Malah, berani memainkan peranan sebagai penganjur yang menyuburkan persekitaran ekosistem perbukuan nasional.

Kepada yang masih melihat soal duit, duit dan duit. Inilah yang sedang dikejar KLWBC 2020. Duit yang manfaatnya menyeluruh pada kepentingan nasional.

KLWBC 2020 pasti dimeriahkan dengan pelbagai acara. Itu asas Kuala Lumpur melaksanakan tanggungjawab menjadi penganjur.

Namun, cabaran lebih besar ialah KLWBC 2020 berjuang demi memakmurkan industri buku dan seterusnya memastikan 40 peratus isi rumah di negara ini tidak mengalami ‘kebuluran buku’.

____________________________________________________________________________

* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain. Zainal Rashid Ahmad juga pernah memenangi 38 hadiah sastera.

** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Sumber artikel: http://www.astroawani.com/gaya-hidup/klwbc-2020-projek-100-buku-emas-231200

Category
Tags

Comments are closed