
KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, menjadi pentas penting penggiat sastera mempromosikan karya bermutu kepada masyarakat.
Antara menonjol ialah inisiatif unik, Taman Sastera oleh Nusa Center dikendalikan Penerima Anugerah SEA Write, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir.
SM Zakir berkata, Taman Sastera mengetengahkan kompilasi karya sastera tempatan dan luar negara, merangkumi terjemahan serta karya asli untuk menarik minat masyarakat terhadap sastera.
“Taman Sastera ini berkonsepkan taman bunga menarik orang ramai bukan hanya kerana keindahan visual, bahkan keharuman dan keunikan kandungan sastera.
“Sastera moden dan klasik berbeza dari segi konteks. Karya klasik banyak berteraskan skrip sejarah dan mitologi, manakala sastera moden lebih menekankan keterhubungan dengan realiti masyarakat hari ini seperti isu kelangsungan hidup,” katanya.
SM Zakir berkata, sambutan pengunjung terhadap karya sastera di PBAKL juga amat menggalakkan, sekali gus membuktikan masyarakat masih mempunyai minat terhadap karya memiliki nilai intelektual dan berjiwa.
“Usaha seperti ini memperlihatkan komitmen penulis dan penerbit kecil dalam memastikan dunia sastera kekal hidup serta relevan dalam landskap penerbitan masa kini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan BH merakamkan PBAKL 2025 terus menjadi tumpuan generasi muda yang bukan sahaja hadir membeli buku, malah menghidupkan semangat membaca.
Pengunjung, Nur Aisyah Batrisyia Abd Razak, 23, berkata PBAKL dinanti-nantikannya kerana menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan untuk golongan muda terutama genre fiksyen yang sangat mengembangkan imaginasinya.
Katanya, dia lebih gemar membaca buku secara fizikal kerana selesa dan memberi kepuasan berbanding secara dalam talian atau e-buku.
“Namun, media sosial tetap berperanan besar memupuk minat membaca terutama dalam kalangan belia,” katanya.
Bagi Nur Athirah Johar, 22, dan rakannya Muhammad Muhaimin Johari, 24, kunjungan ke PBAKL sudah menjadi kebiasaan kerana banyak promosi menarik ditawarkan dan peluang bertemu penulis.
“Perkembangan penerbitan buku tempatan sangat memberangsangkan, terutama penulis muda. Harga buku juga sangat berpatutan,,” katanya.
Yakin sasaran tercapai
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron yakin sasaran kehadiran 1.9 juta pengunjung boleh dicapai berdasarkan sambutan luar biasa diterima setiap tahun termasuk edisi kali ini.
“Dengan kesesakan pengunjung saban tahun, ia menjadi petunjuk jelas minat membaca rakyat meningkat, sekali gus membuktikan PBAKL terus relevan serta diminati masyarakat pelbagai lapisan,” katanya.
Beliau berkata, platform PBAKL secara dalam talian yang berjalan serentak dengan acara fizikal di lokasi program memudahkan peminat buku yang tidak berpeluang berkunjung.
“PBAKL kali ini bukan sahaja meraikan kedai buku kecil, malah menghimpunkan pelbagai genre buku dan terbitan dari dalam serta luar negara,” katanya.
Mohd Khair turut mengajak penulis dan masyarakat menyertai Program PENA MADANI dalam usaha memperkasa budaya ilmu dan penerbitan karya tempatan.
Katanya, program anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) itu menjadi platform penting bagi penulis baharu dan berpengalaman menyumbang karya asli dalam bahasa Melayu mencerminkan nilai Malaysia MADANI.
“Ia turut melahirkan terbitan berkualiti seperti karya Pyanhabib berjudul Kami Sayangi, selain menggalakkan pembabitan aktif masyarakat dalam bidang penulisan menerusi pelbagai siri wacana, pelancaran buku dan penyertaan dalam pameran seperti PBAKL,” katanya.
Oleh Muhammad Asyraff Hafizi – Mei 26, 2025 @ 2:01pm, Berita Harian.
Comments are closed