KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang melancarkan program Pahang Pride Student yang dijangka memanfaatkan sehingga 238,000 pelajar di negeri ini pada sesi baharu persekolahan bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, menerusi program bantuan persekolahan tersebut, kerajaan negeri memperuntukan perbelanjaan sehingga RM5 juta yang akan disalurkan kepada pelajar memerlukan dalam keluarga kategori B40 dan M40.

“Menerusi Program Pahang Pride Student, pemberian kad diskaun 20 peratus akan diberikan kepada ketua isi rumah untuk membeli barangan persekolahan di MBS Book and Stationaries di sini.

“Lebih menarik kad diskaun yang diperkenalkan ini boleh diguna pakai sepanjang tahun dan bukannya tertakluk kepada musim kembali ke sekolah sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kad Diskaun Program Pahang Pride Student, di MBS Bookstores, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Soffi berkata, di bawah inisiatif Pahang Pride Student juga, kerajaan negeri memberi RM100 kepada pelajar kategori miskin dan miskin tegar untuk pembelian set alat keperluan persekolahan.

Katanya, setakat ini, ibu bapa telah pun diberikan borang tempahan untuk mereka memilih sendiri set alat keperluan persekolahan yang dibuat melalui Pejabat Pendidikan Daerah.

“Set itu mengandungi beg sekolah, buku, alat tulis, kamus, Iqra’ bagi pelajar beragama Islam, kalkulator bagi pelajar sekolah menengah dan lain-lain.

“Semua pelajar yang berkeperluan dan layak ini akan mendapat set persekolahan tersebut sebelum sesi persekolahan tahun ini yang bermula, 20 Mac depan,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, Pahang Pride Student ini sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada ibu bapa terutama dalam persediaan memulakan persekolahan anak-anak.

“Kerajaan Pahang prihatin dengan situasi dialami oleh ibu bapa penjaga yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya. –UTUSAN

Tags

Comments are closed