PUTRAJAYA, 13 Oktober 2026 – Mesyuarat Anggota Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Tahun 2026 telah berlangsung pada 13 Oktober 2026 (Selasa), jam 2.30 petang, bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kementerian Pendidikan (KPM), Putrajaya. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan merangkap Pengerusi MBKM.
Mesyuarat ini melibatkan keanggotaan MBKM yang terdiri daripada wakil pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, persatuan perbukuan serta pemain industri yang berkepentingan dalam pembangunan ekosistem perbukuan negara. Penglibatan pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik merentas kementerian dan industri bagi memacu pembangunan sektor perbukuan negara secara menyeluruh. Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk membincangkan hala tuju strategik MBKM, khususnya pelaksanaan Dasar Perbukuan Negara (DPN), pencapaian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, usaha pengantarabangsaan karya Malaysia serta pembangunan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) 2026.
Dasar Perbukuan Negara sebagai Agenda Strategik Nasional
Antara agenda utama mesyuarat ialah pembentangan status terkini Dasar Perbukuan Negara (DPN) yang telah mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2026 sebagai dasar nasional. DPN merupakan penambahbaikan kepada Dasar Buku Negara yang bertujuan memperkukuh budaya membaca serta memperkasakan industri perbukuan negara ke arah pembangunan negara maju, berimpak tinggi dan berdaya saing pada peringkat global. Dasar ini menggariskan sembilan gagasan utama yang diterjemahkan melalui 31 strategi, 43 prakarsa dan 70 program, merangkumi Budaya Membaca, Pendigitalan, Literasi Undang-undang dan Hak Cipta, Penterjemahan Profesional, Pembangunan Profesionalisme, Pusat Sehenti Perbukuan, Ekonomi Perbukuan Baharu, Rangsangan serta Ekosistem Perbukuan Inklusif.
Mesyuarat turut memberikan tumpuan kepada keperluan komitmen dan sokongan bersepadu daripada kementerian, agensi serta organisasi yang menganggotai MBKM bagi memastikan setiap gagasan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan. Penekanan diberikan terhadap penetapan kementerian dan agensi peneraju, penyelarasan pelaksanaan merentas sektor, pembangunan petunjuk prestasi utama (KPI) serta mekanisme pemantauan dan pelaporan yang sistematik. Selain itu, mesyuarat dimaklumkan mengenai persediaan Majlis Peluncuran Dasar Perbukuan Negara yang dirancang pada 24 November 2026, dengan kerjasama MBKM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Perbadanan Kota Buku (PKB).
Pencapaian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026
Mesyuarat turut meneliti laporan pencapaian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung pada 29 Mei hingga 7 Jun 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Penganjuran ini merekodkan kira-kira 2.4 juta pengunjung dengan penyertaan 1,210 reruai pameran, sekali gus memperkukuh kedudukan PBAKL sebagai platform utama pembangunan budaya membaca dan pertumbuhan industri perbukuan negara.
Dapatan kajian terhadap 1,685 pengunjung menunjukkan bahawa 94.3 peratus responden berpuas hati dengan penganjuran PBAKL, manakala 96.8 peratus berpandangan bahawa program tersebut menyumbang kepada peningkatan budaya membaca. Kajian terhadap 246 syarikat pempamer pula mendapati 71.2 peratus bersetuju bahawa PBAKL membantu meningkatkan hasil jualan syarikat, manakala 98.5 peratus berhasrat untuk menyertai PBAKL 2027.
Mesyuarat turut diberikan gambaran mengenai perancangan awal PBAKL 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 28 Mei hingga 6 Jun 2027 di WTCKL, dengan tumpuan terhadap penambahbaikan pengurusan pameran, pengalaman pengunjung dan pempamer serta pengukuhan jaringan perdagangan industri perbukuan.
Memperkasakan Pengantarabangsaan Karya Malaysia
Dalam usaha memperluas pasaran karya tempatan, mesyuarat turut meneliti laporan Jawatankuasa Kecil Promosi dan Pengantarabangsaan Karya Malaysia yang merangkumi penyertaan strategik negara dalam pesta buku antarabangsa, termasuk Bologna Children’s Book Fair (BCBF) dan Beijing International Book Fair (BIBF) 2026. Penyertaan Malaysia dalam program tersebut membuka peluang kepada penerbit dan pemain industri tempatan untuk memperluas jaringan perdagangan hak cipta, memperkenalkan karya Malaysia kepada pasaran antarabangsa serta meneroka kerjasama penerbitan dan penterjemahan dengan rakan strategik luar negara.
Mesyuarat turut diberikan gambaran mengenai cadangan pemantapan program pengantarabangsaan bagi tahun 2027, termasuk peluasan inisiatif penterjemahan karya kreatif dan akademik tempatan, pengukuhan pemasaran antarabangsa serta keperluan sokongan peruntukan khusus bagi memastikan kesinambungan dan kelestarian usaha pengantarabangsaan karya Malaysia.
Indeks Membaca Kebangsaan 2026 sebagai Instrumen Pengukuran Budaya Membaca
Mesyuarat turut meneliti perkembangan Kajian Awal Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) 2026 yang dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Kajian ini bertujuan membangunkan instrumen pengukuran yang saintifik dan sistematik bagi menilai kadar membaca masyarakat Malaysia serta memahami perubahan pola dan tahap pembacaan dari semasa ke semasa.
IMK merangkumi empat dimensi utama, iaitu akses dan infrastruktur, sikap dan pengaruh sosial, kognitif dan kemahiran membaca serta impak dan faedah keseluruhan. Dapatan kajian ini dijangka menjadi asas penting kepada perancangan program pembudayaan membaca yang lebih berfokus, berasaskan data dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang tahun 2030.
Memperkukuh Kerjasama Strategik Ekosistem Perbukuan Negara
Secara keseluruhannya, Mesyuarat Anggota MBKM Tahun 2026 menjadi wadah penting dalam memperkukuh penyelarasan dasar, program dan inisiatif strategik sektor perbukuan negara. Tumpuan terhadap pelaksanaan DPN, pemantapan PBAKL, pengantarabangsaan karya Malaysia dan pengukuran budaya membaca memperlihatkan pendekatan menyeluruh MBKM dalam membangunkan ekosistem perbukuan yang progresif, inklusif, mampan dan berdaya saing.
Melalui komitmen dan kerjasama berterusan semua anggota MBKM, usaha memperkukuh budaya membaca dan memperkasakan industri perbukuan negara diharap dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan program yang memberikan manfaat nyata kepada masyarakat, pemain industri serta pembangunan ekonomi dan intelektual negara.
“Malaysia Membaca, Industri Diperkasa”













Comments are closed