Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) telah berlabuh pada 23 Jun 2024. Misi Malaysia selama 5 hari dalam memperkenalkan karya tempatan ke pasaran perbukuan negara China telah berhasil apabila beberapa penerbit dan penulis Malaysia menerima tawaran niat kerjasama penerbitan dari syarikat-syarikat perbukuan China. Pada hari terakhir BIBF 2024, Malaysia sekali lagi berjaya mempamerkan kekayaan sastera dan kebudayaannya. Acara ini mendapat sambutan hangat dan minat yang tinggi terhadap karya-karya dari Malaysia, baik daripada pengunjung tempatan mahupun antarabangsa.
Pengunjung berasa sangat teruja melihat kehadiran delegasi Malaysia serta persembahan Pavilion Malaysia yang pada pendapat mereka antara yang terbaik selain Pavilion Negara Tamu. Kehadiran ini telah memberi impak keterlihatan Malaysia setanding dengan pemain industri perbukuan negara-negara Eropah.
Melihat kepada kejayaan ini, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan usahasama Perbadanan Kota Buku berhasrat untuk membawa misi yang lebih besar pada tahun 2025 dengan mempersembahkan lebih banyak karya berkualiti tinggi serta mempromosikan penulis-penulis tempatan ke persada global. Selain itu, usaha penerokaan pasaran baharu untuk penerbit universiti Malaysia melalui Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MAPIM) juga akan dipertingkatkan. MBKM, dan Perbadanan Kota Buku akan memainkan peranan penting dalam usaha memartabatkan sastera Malaysia, menjadikannya lebih dikenali dan dihargai di arena antarabangsa.













Comments are closed