Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur – Sistem Tempahan Automasi Reruai (PBAKL-STAR)
CYBERJAYA — Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), selaku penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), akan membuka tawaran reruai melalui Sistem Tempahan Automasi Reruai PBAKL-STAR 2026. Sistem digital sepenuhnya ini direka untuk memudahkan proses tempahan reruai secara lebih telus, tersusun, dan efisien, serta memberikan akses mudah kepada pelan lantai dan maklumat ketersediaan reruai sebelum tempahan dilakukan.
Tempahan reruai akan ditawarkan mengikut kluster yang ditetapkan, dengan setiap syarikat diberikan satu akses ID untuk membuat tempahan bagi satu kluster sahaja. Pendekatan ini memastikan ketelusan pengagihan ruang dan memberi peluang adil kepada semua bakal pempamer untuk memperoleh reruai yang bersesuaian di PBAKL 2026.
Sistem PBAKL-STAR 2026 diperkenalkan khusus untuk syarikat tempatan, dibahagikan kepada dua kategori iaitu ahli persatuan dan bukan ahli, melibatkan persatuan berdaftar seperti MBEIA, MABOPA, PIBM, MBA, PKBM, dan MAPIM.
Sistem ini tidak melibatkan penyertaan pempamer daripada kementerian atau agensi kerajaan. Pembayaran dijalankan melalui cek atau pindahan wang dalam talian, di luar aplikasi PBAKL-STAR. Bagi memastikan proses tempahan adil dan telus, sistem ini mengguna pakai konsep ‘Siapa Cepat, Dia Dapat’ (First Come, First Served). Sekiranya berlaku pertindihan tempahan, syarikat yang membuat tempahan lebih awal akan diberi keutamaan. Jika tempahan berlaku pada masa yang sama, pihak pengelola berhak menggunakan budi bicara untuk menyelesaikan perkara tersebut, dan segala keputusan pengelola adalah muktamad.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan syarikat penerbitan dan pemain industri buku mendapat akses adil untuk menyertai pameran buku terbesar negara. Keseluruhan proses tempahan akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal rasmi www.pbakl-star.com




Comments are closed