
KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, yang bermula semalam sehingga 1 Jun ini, mensasarkan kehadiran 1.9 juta pengunjung.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata keyakinan mencapai sasaran itu berdasarkan kepada sambutan luar biasa diterima pada setiap tahun termasuk pada edisi kali ini.
Katanya, sambutan hebat itu membuktikan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia terus meningkat di sebalik pelbagai kemajuan teknologi.
“Dengan kesesakan pengunjung saban tahun pada program ini menjadi petunjuk jelas dan sekali gus membuktikan PBAKL terus relevan serta diminati masyarakat pelbagai lapisan di negara ini.
“Sebab itu, pada edisi kali ini kita mensasarkan kehadiran 1.9 juta pengunjung,” katanya ketika ditemui di tapak PBAKL 2025 di sini, hari ini.
Mohd Khair yang sudah memasuki empat tahun mengendalikan pesta buku antarabangsa ini berkata selain pameran dan jualan buku, pelbagai acara sampingan turut diadakan sepanjang program itu.
Katanya, platform PBAKL secara dalam talian turut berjalan serentak dengan acara fizikal di lokasi program bagi memberi pilihan kepada peminat buku yang tidak berpeluang berkunjung.
“PBAKL kali ini bukan sahaja meraikan kedai-kedai buku kecil, malah menghimpunkan pelbagai genre buku dan terbitan dari dalam serta luar negara.
“Disamping itu, pelbagai sesi bedah buku dan acara bertemu penulis turut diadakan oleh pelbagai syarikat penerbitan,” katanya sambil menyifatkan WTC paling sesuai bagi menganjurkan PBAKL berikutan lokasinya yang strategik.
Mohd Khair turut mengajak rakyat negara ini yang meminati bidang penulisan untuk menyertai Program PENA MADANI pada masa akan datang sebagai usaha memperkasa budaya ilmu dan penerbitan karya tempatan.
Katanya, program anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) itu menjadi platform penting bagi penulis baharu dan berpengalaman menyumbang karya asli dalam Bahasa Melayu yang mencerminkan nilai-nilai Malaysia MADANI.
“Ia turut melahirkan terbitan berkualiti seperti karya Pyanhabib berjudul Kami Sayangi selain menggalakkan pembabitan aktif masyarakat dalam bidang penulisan menerusi pelbagai siri wacana, pelancaran buku dan penyertaan dalam pameran seperti PBAKL,” katanya.
Oleh Muhammad Asyraff Hafizi – Mei 24, 2025 @ 7:06pm, bhnews@bh.com.my
Comments are closed