DIPLOMASI LITERASI MBKM DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KAHERAH (CIBF) 2026
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) telah menerima jemputan rasmi daripada General Egyptian Book Organization (GEBO) untuk menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kaherah (Cairo International Book Fair, CIBF) 2026, termasuk penglibatan dalam program Cairo Calling 9.0. Penyertaan strategik ini melabuhkan tirainya dengan pencapaian yang signifikan, sekali gus memperkukuh peranan MBKM sebagai pemangkin dalam memperluas keterlihatan karya Malaysia serta memperkasa industri perbukuan negara di peringkat antarabangsa.
Penyertaan MBKM di CIBF 2026 dilaksanakan selaras dengan mandat memperkukuh budaya membaca dan memacu pengantrabangsaan karya Malaysia melalui pendekatan diplomasi literasi yang menyeluruh. CIBF dipilih sebagai platform strategik memandangkan kedudukannya sebagai antara pesta buku terbesar di dunia Arab, sekali gus membuka laluan langsung kepada pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara.
Dengan kehadiran pengunjung melebihi 5.5 juta orang, CIBF 2026 menzahirkan potensi pasaran yang luas dan dinamik. Penganjuran edisi ini turut menampilkan Sasterawan Nobel, Naguib Mahfouz, sebagai Tokoh Pesta Buku, yang memperkukuh reputasi CIBF sebagai pusat pertemuan intelektual, sastera dan industri penerbitan dunia Arab.
Program Cairo Calling 9.0 Fellowship, yang berlangsung seiring dengan CIBF, telah menghimpunkan 38 fellows dari hampir 20 buah negara, dengan sebahagian besar hadir ke Kaherah buat kali pertama. Penyertaan antarabangsa yang meluas ini menyediakan ruang strategik bagi pertukaran wacana profesional, pemahaman ekosistem penerbitan serantau serta pembinaan jaringan industri yang bernilai tinggi.
Sepanjang penyertaan ini, MBKM memberi penekanan kepada pemahaman konteks sejarah, budaya dan landskap penerbitan Mesir sebagai asas kepada perancangan peluasan pasaran karya Malaysia. Pengenalan Rights Centre buat julung kalinya di CIBF telah menyediakan platform yang lebih tersusun dan berfokus untuk rundingan hak cipta, sekali gus meningkatkan keberkesanan pertemuan antara penerbit Malaysia dan rakan antarabangsa.
Antara hasil konkrit rundingan terdahulu yang dizahirkan sempena CIBF 2026 ialah penerbitan The Big Book of Malaysian Horror Stories (Buku FIXI) untuk pasaran Arab oleh Al Arabi Publishing and Distributing, Mesir, sebuah penerbit berprofil kukuh dalam bidang sastera terjemahan antarabangsa. Perjanjian penerbitan bagi judul ini telah dimeterai pada tahun 2024 hasil rundingan di Pesta Buku Antarabangsa Abu Dhabi, dan kini telah diterbitkan serta dipasarkan secara rasmi di Kaherah.
Selain itu, dua judul Malaysia kini berada dalam proses penterjemahan untuk pasaran Arab, iaitu Cyber Security: Everyone Should Alert terbitan Universiti Malaysia Kelantan oleh penerbit dari Jordan, serta Siri Inspektor Mislan (Buku FIXI), yang dijangka menembusi pasaran pembaca di beberapa negara dunia Arab dalam tempoh terdekat.
MBKM turut memudah cara usaha penerbitan melalui penyediaan Letter of Intent (LOI) bagi menyokong permohonan Geran Penterjemahan Sharjah untuk beberapa judul terpilih daripada katalog 50 Best Malaysian Titles for International Rights. Antara judul yang telah menerima minat awal daripada penerbit antarabangsa, termasuk dari India, Kanada, Azerbaijan serta negara-negara Arab seperti UAE dan Mesir, ialah Doppelganger (Karangkraf), Leyla’s Quest dan Dragonlore (Hikayat Fandom), Generative Artificial Intelligence (Universiti Sains Islam Malaysia), Rainbird (Oyez! Books), An Introduction to the History of Southeast Asian Architecture (Sunway University Press) serta Pohon Kenangan (Imprin Oked). Penerbit di Mesir juga telah memohon senarai judul tambahan bagi pertimbangan pasaran tempatan mereka, menandakan peningkatan minat terhadap kandungan Malaysia.
Penyertaan Malaysia di CIBF 2026 turut disokong oleh wakil-wakil industri perbukuan tempatan yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran negara di peringkat antarabangsa. Delegasi Malaysia terdiri daripada Puan Zulaikah Begam binti T. Bavutty daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Encik Sheikh Faisal mewakili MABOPA, Encik Johari bin Omar dan Dr. Nik Roskiman Abdul Samad daripada IKIM, Puan Ainun Mardiah selaku wakil Penerbit IBDE, Encik Kirideran Jayakumar daripada Biblio Press serta Encik Muhamad Loman daripada Bravo Global Venture yang terlibat secara langsung dalam rundingan profesional, pemudahcaraan hak cipta dan pembangunan jaringan strategik.
Seiring dengan itu, penyertaan MBKM di Kaherah turut menekankan kesinambungan usaha pengantrabangsaan karya Malaysia yang telah dimulakan di Abu Dhabi, Riyadh dan Sharjah pada tahun 2025, di samping mempromosikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 sebagai platform serantau yang berwibawa. Pendekatan ini menggalakkan penglibatan lebih aktif penerbit Arab dalam rundingan hak cipta, kerjasama penerbitan bersama serta pertukaran sastera dua hala.
Secara keseluruhan, kejayaan misi ini mengukuhkan keyakinan bahawa karya Malaysia, merangkumi sastera kreatif dan penerbitan akademik, mempunyai nilai intelektual yang tinggi serta potensi komersial yang kompetitif di pasaran antarabangsa. Usaha berterusan MBKM ini mencerminkan komitmen jangka panjang dalam memperkukuh budaya membaca dan memperkasa industri perbukuan negara melalui pengantrabangsaan kandungan Malaysia secara strategik dan mampan.
Disediakan oleh:
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia
Pegawai untuk dihubungi:
Puan Zulaikah Begam binti T. Bavutty
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia
zaiqa.begam@moe.gov.my







Comments are closed