Mesyuarat Ahli Anggota Majlis Buku Kebangsaan Malaysia 2025
Alhamdulillah, YB Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah mempengerusikan mesyuarat Ahli Anggota MBKM pada Selasa , 23 Disember 2025. YB Menteri merupakan Pengerusi MBKM.
Mesyuarat ini membincangkan perkembangan utama dasar, pencapaian serta perancangan strategik industri perbukuan negara selaras dengan mandat Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) bagi memperkukuh budaya membaca dan ekosistem perbukuan nasional.
Dasar Perbukuan Negara (DPN) merupakan penjenamaan semula Dasar Buku Negara 1985 yang digubal semula bagi menepati perubahan teknologi, pola pembacaan, landskap global dan cabaran industri semasa. DPN berfungsi sebagai kerangka dasar komprehensif untuk memperkasa industri perbukuan sebagai pemangkin pembangunan modal insan, ekonomi kreatif dan pertumbuhan intelektual negara.
Pelaksanaan DPN digerakkan melalui sembilan gagasan utama yang diterjemahkan kepada 31 strategi dan 43 inisiatif, meliputi penguasaan dan pengukuhan budaya membaca, pendigitalan bahan bacaan, literasi undang-undang dan hak cipta, penterjemahan profesional, pembangunan profesionalisme pemain industri, pemerkasaan pusat sehenti perbukuan, penerokaan ekonomi perbukuan baharu, penyediaan rangsangan industri serta pembangunan ekosistem perbukuan inklusif yang mesra OKU.
Keseluruhan gagasan ini disokong oleh prinsip holistik, nilai MADANI, tekal, inklusif, demokratik, dinamik, keberdayaan digital serta kelestarian dan tanggungjawab sosial bagi memastikan pelaksanaan dasar yang seimbang, mampan dan berimpak tinggi kepada masyarakat dan industri.
Dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan perlindungan harta intelek, Garis Panduan Hak Cipta Perbukuan dan Garis Panduan Penyelidikan Perbukuan telah diterbitkan pada tahun 2024 sebagai rujukan utama kepada penggiat industri, institusi dan pihak berkepentingan dalam memastikan pengurusan hak cipta dan penyelidikan perbukuan dilaksanakan secara beretika dan berintegriti.
Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 mencatatkan pencapaian signifikan dengan kehadiran lebih 2.16 juta pengunjung serta penyertaan 258 pempamer tempatan dan antarabangsa. Dapatan kajian kepuasan pempamer dan pengunjung turut menjadi asas penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan kualiti penganjuran dan pengalaman pengunjung.
Bagi tahun 2026, PBAKL akan dianjurkan dengan tema Malaysia Membaca: Merayakan Buku, disokong oleh pelaksanaan sistem tempahan reruai automasi PBAKL-STAR, penglibatan pempamer antarabangsa serta pengisian program keterujaan seperti Festival Kanak-kanak, Temu Mesra Sasterawan dan Asian Rights Fair sebagai platform pembangunan industri dan diplomasi budaya.
Dalam konteks pengantarabangsaan, pencapaian utama tahun 2025 memperlihatkan pengiktirafan Malaysia sebagai Negara Tamu Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Beijing, yang berjaya memperkukuh jaringan antarabangsa melalui padanan perniagaan, pemeteraian memorandum persefahaman, perjanjian hak cipta serta liputan media global, sekali gus meningkatkan keterlihatan karya dan industri perbukuan Malaysia di persada dunia.
Terima kasih YB.
Terima kasih kepada semua Ahli mesyuarat.
Terima kasih pasukan MBKM
Tulisan oleh Tuan Mohd Khair Ngadiron





Comments are closed