Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-32 membuka tirai dengan sasaran menjadikan aktiviti tahunan ini setaraf dengan Pameran Buku Frankfurt, Jerman menjelang tahun 2020. Usaha ini harus disokong oleh orang ramai bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat ilmu dan buku dunia.

 

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, para penerbit dalam negara perlu meningkatkan jumlah penerbitan buku dalam usaha menggalakkan budaya membaca supaya menjadi suatu gaya hidup dalam kalangan masyarakat. Golongan belia adalah golongan sasaran bagi menjadikan mereka para ilmuan dan budiman pada masa hadapan.

 

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abdul Wahab berkata PBAKL pada 2013 menjanjikan kelainan dengan menjemput Arab Saudi sebagai tetamu negara terhormat bagi mempromosikan PBAKL kepada dunia. Selain itu, beberapa pendekatan baru akan diperkenalkan seperti mewujudkan ruang bacaan yang lebih santai bagi para pengunjung di samping menyediakan pavilion bagi negara-negara luar.

 

Bukan itu sahaja, Dewan Bahasa dan Pustaka turut merangka inisiatif dalam membukukan disertasi dan kajian pelajar di peringkat sarjana dan doktor falsafah yang digarap supaya bersesuaian bagi bacaan umum.

 

Penyertaan 12 buah negara asing dan 729 gerai pameran pada PBAKL lalu menunjukkan sokongan positif dan ini secara tidak langsung berjaya mengangkat PBAKL antara pesta buku terbesar di rantau Asia. Pameran yang akan berlangsung pada 26 April hingga 5 Mei 2013 ini juga turut menyediakan 750 gerai pameran melibatkan enam dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Category
Tags

Comments are closed